Maka adalah diperintahkan hari ini bahawa Amanah Raya Berhad, Cawangan Melaka dilantik sebagai komiti kepada Ahmad Fauzi Bin Ibrahim. Bahawa komiti yang dilantik, diberi kuasa untuk menguruskan hal-ehwal Ahmad Fauzi Bin Ibrahim dan seterusnya menguruskan bahagian harta pemohon selaras dengan Ordinan Sakit Otak 1952. RM 250,000.00 telah diarahkan untuk di simpan di Amanah Raya Berhad.
Itulah yang tertera pada dokumen perintah yang diserahkan kepada Amanah Raya Berhad cawangan Melaka. Pada ketika itu tidak tergambar dalam fikiran kami sejauh manakah penderitaan yang beliau tempuhi. Segalanya bermula apabila kami membaca majalah Mastika keluaran Julai 2003, dimana kami amat terharu apabila melihat keadaan yang menimpa beliau . Atas dasar keharuan dan keperihatinan, pihak Amanah Raya Berhad Cawangan Melaka telah sepakat untuk menziarahi beliau seisi keluarga serta menghulurkan bantuan serta sumbangan ikhlas kami terhadap beliau.
Pada 9 Julai 2003, pihak Amanah Raya Berhad, Cawangan Melaka yang terdiri daripada Pengurus Cawangan Tn. Hj Jaafar, En. Hamka, Pn. Rohani dan Pn.Fazita serta seorang wartawan dari akhbar "Melaka Minggu Ini" En. Nawi, telah mengunjungi kediaman Ahmad Fauzi dan keluarganya di Kg.Tehel, Bemban Melaka. Tersentuh hati kami apabila pertama kali melihat keadaan beliau. Tidak dapat digambarkan betapa pilunya melihat keadaan fizikal Ahmad Fauzi. Keadaan susuk tubuh badannya yang terlalu kurus menampakan urutan tulang rusuk serta anggota badannya yang mengerekot. Setiap renungan insan melihatnya pasti tidak dapat diungkap dengan kata-kata dan amat menyentuh jiwa setiap mata yang memandang. En.Jaafar cuba berinteraksi dengan beliau dimana En. Jaafar cuba bertanya kepada beliau; "cikgu, kalau cikgu dengar, cikgu kelipkan mata." Kelipan matanya ini menunjukan pendengaran beliau serta penglihatannya masih mempunyai secebis harapan kepada Ahmad Fauzi dalam menempuhi perjalanannya di dunia ini. Beliau mengelipkan mata apabila mendengar segala apa yang dituturkan oleh En.Jaafar sebagai tanda memahami. Kami benar-benar bersimpati terhadapnya serta ahli keluarganya.
Peristiwa yang dialami oleh beliau diimbaskan kembali oleh bapanya Ibrahim Bin Endon. Kejadian yang tidak pernah terfikir akan berlaku telah terjadi dalam hidup anaknya Ahmad Fauzi. 'Sekolah Mengenah Teknik, Bukit Katil, Melaka Tengah' pasti tidak luput dalam ingatan keluarga beliau, kerana disinilah segalanya bermula rintitan hitam kepada Ahmad Fauzi sekaligus mengubah kehidupanya. Ketika beliau cuba membaiki kipas syiling di dalam salah sebuah bilik darjah. Pada ketika itulah salah seorang pelajar dengan tidak sengaja telah memetik sius kipas yang sedang dibaiki oleh Ahmad Fauzi yang berada diluar bilik. Sepantas kilat kejutan elektrik telah membuatkan denyutan nadinya terhenti seketika.Tragedi itu menyebabkan beliau koma selama seminggu di Hospital Besar Melaka. Laporan yang dikeluarkan oleh pihak Hospital mengesahkan beliau mengelami kecatatan yang tidak akan mungkin pulih seperti sediakala. Renjatan elektrik tersebut telah merosakan sistem saraf otaknya sehingga kini beliau tidak mampu bergerak bahkan berkata-kata.
Makan dan minum beliau juga terpaksa diberi melalui tiub . Apa yang terdaya baginya kini hanya berserah kepada Allah menentukan kehidupannya dimasa mendatang. Paling menyedihkan lagi Ahmad Fauzi mempunyai anak-anak dan isteri ,Namun kecatatan yang dialami oleh beliau telah memutuskan segala kebahagian yang dimilikinya dulu. Semenjak kejadian itu, isteri dan anak-anaknya telah menjauhkan diri darinya. Inilah pengajaran dan petunjuk dari Allah bahawa kasih seorang ibu dan ayah adalah selama-lamanya tidak hanya setakat dari anak dilahirkan, disekolahkan hingga berjaya bahkan hingga dewasa perjuangan pengorbanan mereka terhadap anak-anak tidak pernah luntur walaupun dalam kesusahan. Walaupun mengikut khabar berita kini penglihatan bapanya sedikit kabur apatah lagi kudrat seorang ibu tua menguruskannya. Namun, bebanan itu dapat diringankan dengan bantuan adik beradiknya.
Kami kini dalam proses mengumpul segala aset-aset Ahmad Fauzi untuk disalurkan ke akaun amanahnya agar bebanan yang ditanggung dapat dikurangkan. Amanah Raya Berhad memperuntukkan bayaran nafkah sebanyak RM2,000.00 sebulah untuknya. Kami berharap agar ada pihak yang lain sudi memberi sumbangan kepada Ahmad Fauzi bin Ibrahim, dalam meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarganya. Sesungguhnya segala apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Manusia hanya merancang namun Allah jua yang menentukan. Kami berdoa agar ahli keluarganya terutama ibu bapa Ahmad Fauzi tabah menghadapi dugaan Allah ini.